Assalamualaikum w.b.t

Villa Puteh ini merupakan blog perkongsian tips dan panduan untuk memilih Rumah Idaman para pembaca semua. Blog ini juga menyediakan iklan perumahan dan lot tanah untuk dijual yang kebanyakannya berada di sekitar negeri Kelantan Darul Naim

sebarang pertanyaan dan maklum balas bolehlah menghubungi Encik Syaiful: 0106401153 atau Email:villaputeh@gmail.com

..Selamat Membaca dan Berkongsi Tips..

Pages

January 12, 2013

PERKARA ASAS SEBELUM BINA RUMAH ATAS TANAH SENDIRI



PERKARA ASAS SEBELUM BINA RUMAH ATAS TANAH SENDIRI
 Assalamualaikum dan salam sejahtera,



Rasa-rasanya dah lama saya tak update posting. Bidang hartanah dan pembinaan merupakan bidang yang sangat kompleks dan sukar nak difahami oleh orang biasa kerana ia memerlukan pengetahuan teknikal. Kalau tahu sikit-sikit tu kira bonus. Oleh yang demikian, saya akan cuba memberikan maklumat yang mudah difahami dan dipraktikkan.




Membina rumah kediaman di atas tanah sendiri merupakan impian setiap individu. Kalau diikutkan dari segi kos memang lebih jimat berbanding membeli rumah kediaman yang telah siap. Akan tetapi, ramai yang tidak mengetahui selok-belok dalam merancang kediaman jenis ini sehingga mengikis wang poket anda sedikit demi sedikit sehingga melebihi kos yang sepatutnya.







a. Geran Tanah



Geran amatlah diperlukan untuk mengenalpasti pemilikannya. Pastikan geran tanah tersebut tertera nama anda sebagai pemiliknya atau anda salah seorang, yang sorang lagi isteri/suami. Selain daripada itu, semak kategori/kegunaan tanah contohnya, pertanian/bangunan kediaman/bangunan komersial. Jika kategorinya adalah pertanian, anda perlu menukar status kepada bangunan kediaman, dalam hal ini, anda boleh buat sendiri atau guna khidmat perunding tanah/peguam (cepat le sikit tempohnye). Keluasan tanah dan pelan tanah juga perlu diambilkira dalam menentukan keluasan dan rekabentuk kediaman anda.




b. Keadaan Tanah



Ceritalah serba ringkas pasal keadaan tanah tersebut sama ada tanah rata, berbukit, hutan, tanah lembah/rendah atau tanah tambun. Kalau kawasan tu semak samun, anda perlu membersihkan sendiri tanah dengan duit poket sendiri. Kalau tanah tu jenis tanah lembah/rendah, anda perlu tambun dahulu dengan duit poket sendiri. Pada kebiasaannya kontraktor cuma sediakan rumah sahaja, tetapi anda boleh meminta kontraktor untuk buat kerja membersih dan menambun tanah dengan kos tambahan. Kos menambun tanah ni boleh dimasukkan sekali dalam bajet bina rumah dengan syarat ianya ditulis dalam perjanjian dengan kontraktor, baru bank atau kerajaan akan kira kos tersebut.







c. Pelan Lakaran Rumah



Bab ni menuntut anda supaya jadi pelukis handalan.. he..he..he.. gurau aje. Tak payah lukis cun-melecun. Asal nampak pelan susunatur yang berkenan dihati pun jadilah. Lazimnya, arkitek/pelukis pelan akan bagi beberapa 'sample' sebagai rujukan anda. Pelan tanah memainkan peranan penting dalam keluasan dan pelan susunatur rumah anda, mintalah pandangan daripada arkitek/pelukis pelan. Anda juga perlu pandai memilih dan merekabentuk pelan susunatur rumah anda agar pelan tersebut memberi keselesaan kepada anda dan memudahkan untuk anda membuat tambahan struktur rumah pada masa depan… kalau keadaan memerlukan.







d. Bajet Kewangan



Perlu ambil perhatian bahawa bajet akan menentukan keluasan, rekabentuk dan spesifikasi rumah anda. Biasanya, arkitek/pelukis pelan/kontraktor akan membuat anggaran harga berdasarkan keluasan sesebuah rumah. Kos penyediaan pelan lakaran rumah, bayaran kepada badan berkanun sehingga kelulusan pelan diperolehi dan bayaran untuk mendapatkan Sijil Kesiapan dan Pematuhan (CCC) anda perlu tanggung sendiri. Ditambah pula apabila anda bina rumah anda menggunakan pinjaman bank atau kerajaan, anda perlu lantik peguam untuk urus penyediaan dokumen pinjaman. Dapatkan nasihat daripada arkitek/pelukis pelan/kontraktor/peguam anggaran bajet kewangan rumah idaman anda.







e. Spesifikasi



Apa itu spesifikasi? Tak ramai yang bertanya bab ni. Spesifiksai adalah bahan-bahan yang akan digunakan dalam membina rumah, contohnya penggunaan batu-bata samada bata simen atau bata merah untuk dinding rumah, rangka pintu dan tingkap samada kayu atau besi aluminum, kemasan lantai samada simen konkrit atau jubin seramik dll. Kadang-kadang arkitek/pelukis pelan memasukkan spesifikasi didalam pelan lakaran mereka tanpa disedari oleh pelanggan. Oleh itu, ramai di antara pelanggan merungut pasal spesifikasi yang mungkin 'tak padan' dengan bajet mereka. Akibatnya, wujud konflik antara kontraktor dan pelanggan. Kontraktor menganggap kerja mereka betul manakala pelanggan tak berpuas hati dengan apa yang disediakan oleh kontraktor. Terbaiknya, bawalah berbincang dengan kontraktor tentang spesifikasi ini dan persetujuannya hendak dibuat bertulis, jangan ikut cakap mulut je… bila ada masalah, baru nak menyesal.







Akhirnya, bila pelan lakaran rumah telahpun siap dan telah diluluskan oleh badan berkanun, barulah anda perlu fikirkan langkah seterusnya, buat pinjaman bank atau kerajaan… bagi yang poket tebal, takpa la, boleh bina terus je…







Pilihlah pinjaman yang terbaik… kontraktor yang terbaik… dan peguam yang terbaik… untuk menguruskan pembinaan rumah idaman anda…

November 12, 2012

Rumah Siap Bina Atau Rumah Belum Bina

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca sekalian;

Anda masih lagi berfikir samada mahu membeli rumah yang siap bina atau rumah belum bina. Kedua-dua jenis rumah ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Terdapat banyak faktor bagi anda membuat pilihan yang mana satu berkenan dihati dan yang mana satu mempunyai risiko yang rendah.

Rumah Siap Bina

Kelebihan membeli rumah siap bina adalah kerana ianya dapat menjimatkan masa. Apabila anda sudah berkenan dengan rumah tersebut, anda terus dapat mendudukinya asalkan anda membayar harga rumah tersebut, tidak kiralah melalui bayaran cash atau pinjaman. Tetapi anda haruslah bijak menilai keadaan rumah tersebut sepuas-puasnya terutamanya dari segi rekabentuk lantai dan atap kerana rumah tersebut sudah tersedia untuk dinilai oleh mata anda. Anda juga tidak perlu pening kepala dengan karenah pemaju atau kontraktor yang tidak dapat menyiapkan rumah anda dalam masa yang ditetapkan.
Tambahan pula, rumah siap bina mempunyai risiko yang rendah. Ini kerana majoriti rumah siap bina telah mempunyai atau dalam proses mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan. Wujudnya sijil tersebut, membolehkan anda menuntut gantirugi daripada insuran sekiranya berlaku sesuatu diluar jangkaan seperti kebakaran atau kerosakan akibat banjir.

Walaubagaimanapun, rumah siap bina ini tetap mempunyai kelemahannya. Kelemahan utama rumah siap bina ialah kerana harganya. Pada kebiasaannya, harga rumah siap bina ini adalah 20% lebih tinggi daripada rumah belum bina dengan pelan lantai dan  perihalan yang sama. Ini adalah disebabkan pemaju atau kontraktor perlu menanggung kos keseluruhan rumah tersebut dan mereka juga mengambilkira risiko rumah tersebut lambat dijual.
Selain itu, anda juga harus menerima pelan lantai dan perihalan yang sediaada yang memungkinkan tidak mengikut citarasa anda. Dan dalam kebanyakan kes, anda berkemungkinan akan melakukan pengubahsuaian ke atas pelan dan rumah sediaada dan ini akan menyebabkan anda mengeluarkan kos tambahan. Anda fikir-fikir lah...

Rumah Belum Bina

Kelebihan rumah belum bina pula adalah pelan lantai rumah anda. Dalam kes ini anda boleh dan harus mencari pemaju atau kontraktor yang memberi kebebasan kepada untuk mereka bentuk pelan lantai yang anda kehendaki. Tetapi haruslah diingat, anda perlu berhati-hati dengan rekaan pelan lantai anda, semakin kompleks pelan anda semakin mahal harga rumah anda. Pastikan rumah anda tersebut anda mampu milik.
Disamping itu, anda boleh dan harus mencari pemaju atau kontraktor yang memberi kebebasan kepada anda untuk menentukan kualiti bahan binaan dan perihalan bangunan. Dan sebagaimana di atas, semakin tinggi kualiti bahan binaan, semakin tinggi harga rumah anda. Sebagai contoh anda boleh meminta pemaju atau kontraktor menggunakan bata tanah merah untuk kemasan dinding rumah anda dan juga kekuda bumbung daripada kayu.
Walaubagaimanapun, membeli rumah belum siap mempunyai risikonya tersendiri. Kelemahan utamanya ialah lambat siap sehingga boleh menyebabkan rumah terbengkalai dan pemaju atau kontraktor meninggalkan projek. Projek terbengkalai bukan sahaja mendatangkan masalah kepada anda dari sudut binaan tetapi juga, jika tidak ditangani sebaiknya, dari sudut bayaran pinjaman bank.
Selain daripada itu, tempoh pembinaan rumah belum siap ini mengambil masa yang panjang iaitu antara lingkungan lapan hingga setahun atau mungkin lebih. Ini bergantung kepada kelulusan pinjaman anda, sekiranya rumah tersebut dibeli menggunakan pinjaman, komplesiti rumah anda dan tidak ketinggalan cuaca. Cuaca memainkan peranan penting dalam menentukan tempoh binaan. Ini kerana apabila musim hujan iaitu November, Disember dan Januari, pemaju atau kontraktor akan menghadapi kesukaran mendapatkan bahan utama binaan iaitu pasir. Anda fikir-fikir lah...

Mengatasi Risiko Rumah Belum Bina

Risiko utama bagi anda yang membeli rumah belum bina ialah rumah anda tidak siap dalam tempoh yang ditetapkan. Untuk mengatasi masalah ini, eloklah anda menyelidik status pemaju atau kontraktor yang akan membina rumah tersebut. Pilihlah pemaju atau kontraktor yang mempunyai trek rekod kerja yang baik dengan hasil kerja tukang yang baik. Pastikan juga anda menjalinkan ikatan perjanjian dengan pemaju atau kontraktor tersebut dan pastikan anda membaca dan memahami isi kandungan perjanjian tersebut terutamanya mengenai tempoh serahan milikan kosng.
Di samping itu, anda juga harus bijak memilih waktu dan masa yang sesuai untuk pemaju atau kontraktor memulakan kerja-kerja membina rumah. Anda memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk membuat persediaan dari segi kelulusan pelan lantai rumah anda dan juga kelulusan pinjaman rumah anda. Anda dinasihati memilih rumah yang belum bina dengan harga yang sederhana iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. In kerana kebiasaannya pemaju atau kontraktor yang membina rumah dengan harga rendah akan menggunakan bahan-bahan binaan yang kurang kualitinya. Ingatlah juga Allah amat menyukai hambaNya yang wasotiyah atau sederhana.

Untuk pengetahuan anda semua, kami, villa puteh, menyediakan perkhidmatan menjual rumah belum bina dan memberi kebebasan kepada anda untuk merekabentuk pelan lantai. Sebarang pertanyaan, boleh e-mailkan ke villaputeh@gmail.com atau telefon penulis di talian 010-6401153.

Selamat membaca.... .

November 6, 2012

09 Unit Rumah Banglo Untuk Dijual

Assalamualaikum w.b.t

Kepada sesiapa yang berminat untuk mencari rumah idaman yang berkonsepkan dan bercirikan Islam boleh menghubungi penulis. Butir-butir sebagaimana berikut:

a) Gambar-gambar lokasi tapak telah dipostkan sebelum ini.

- Mukim Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan - Jalan Telaga Papan/Tok Saboh

b) Sekarang dipostkan pula pelan susunatur tapak.


c) Gambaran 3D bagi rumah yang akan dibina nanti dengan rekaan terkini dan Islamik.


d) Spesifikasi Bangunan adalah sebagaimana berikut:

- keluasan rumah: 1,690 kaki persegi
- ruang: bilik tidur 4 unit, tandas 3 unit, ruang tamu, keluarga,  makan,  dapur dan dll
- struktur: konkrit atau simen bertetulang
- dinding: dinding batu bata simen disudahi dengan 15mm thk lepaan simen luar dan dalam
- bumbung: struktur kekuda kayu dan atap genting bumbung konkrit
- pintu dan tingkap: rangka kayu dan pintu dan tingkap kayu
- harga: RM262,700.00

Sekian, wassalam.

November 5, 2012

Lot Tanah dan Rumah untuk Dijual di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan

Assalamualaikum w.b.t

untuk sesiapa yang berminat membeli lot tanah dan rumah di tapak Projek Cherang Ruku, butiran adalah seperti berikut:

Lokasi: Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh Kelantan

Lokasi tapak projek merupakan lokasi yang strategik dan berdekatan dengan kemudahan awam yang lain. hanya mengambil masa 15 minit ke Bandar Pasir Puteh.

Gambar Simpang Masuk Ke Tapak Projek


Gambar Sisi Kanan Kawasan Tapak


Gambar Sisi Kiri Kawasan Projek


 
Gambar Tapak Projek Dari Google Maps

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai tapak projek bolehlah menghubungi penulis seperti yang tertera di blog ini.

November 4, 2012

Panduan Memilih Rumah Idaman

Assalamualaikum w.b.t

Dewasa ini antara kita sedar atau tidak sedar, kita telah mengabaikan aspek rohani dalam mencari rumah impian kita. kita asyik mengejar aspek jasmani impian kita. pada mata kasar nampak mewah dengan rekaan moden masa kini. tapi, kita harus ingat dan sedar bahawa Islam yang kita anuti dan yakini ada menggariskan panduan-panduan atau langkah-langkah dalam memilih rumah impian kita. Sekiranya kita mengikut garisan ini, insyaAllah hidup kita, keluarga kita, tetangga kita dan seterusnya akan hidup aman, bahagia dan tenang sehingga ke akhir hayat.

Antara perkara-perkara yang perlu diteliti sebelum menilai rumah impian kita seperti:-

a) Rumah Sederhana

Kita haruslah memilih rumah impian kita yang sederhana luas (tidak terlampau luas dan tidak terlalu sempit) dan dengan kata lain, rumah impian kita haruslah berkonsepkan wasafiyah (bersederhana)

Sekiranya rumah impian kita terlampau luas dan terdapatnya ruang-ruang yang tidak perlu, seolah-olah kita bermegah-megah dengan rumah impian kita tersebut dan ingatlah bahawa Allah tidak menyukai hambaNya yang bermegah-megah.

Dan sekiranya rumah impian kita terlampau sempit dan terdapatnya anak-anak kita yang berkongsi bilik, ini akan menggalakkan perbuatan di luar batasan antara anak lelaki dan anak perempuan yang semakin meningkat dewasa terutamanya anak-anak remaja. seelok-eloknya bilik mereka diasingkan di antara anak lelaki dan anak perempuan.

Renungilah sebuah Hadis Riwayat Bukhari:

 "Belum akan datang kiamat sehingga manusia berlumba-lumba dengan bangunan-bangunan yang megah/tinggi"

b) Rumah Berkonsepkan Islam

Kita haruslah memilih rumah impian kita yang berkonsepkan dan bercirikan Islam. Susun atur ruang rumah idaman kita haruslah boleh melindungi isteri dan anak-anak kita. dalam kata lain, dapat melindungi keluarga kita sepenuhnya terutamanya anak-anak perempuan. Konsep rumah bercirikan Islam dapat melindungi anak-anak perempuan dan isteri yang tidak menutup aurat semasa mereka berada di dalam rumah.

Ruang keluarga dan dapur rumah idaman kita haruslah terlindung daripada pandangan tetamu ketika mereka berada di ruang tamu rumah. Rumah idaman kita juga haruslah mempunyai dua pintu berasingan bagi tetamu lelaki dan tetamu perempuan terutamanya semasa mengadakn majlis-majlis tertentu.

Susun atur yang paling utama ialah mengenai tandas di rumah kita. Tandas hendaklah tidak menghadap atau membelakangkan kiblat dan seboleh-bolehnya tandas haruslah diasingkan dari bilik mandi. Usahakan juga agar diadakan pancuran air dan pancuran air hujan bagi membolehkan kita mengambil wudhu' dan mandi wajib dengan lebih sempurna.

Renungilah sebuah Hadis Riwayat Muslim:

"Apabila engkau ke tandas, janganlah menghadap kiblat atau membelakanginya ketika buang air kecil atau besar, tetapi menghadaplah ke timur atau ke barat"

c) Jiran Tetangga

Sebelum kita memilih kawasan rumah idaman kita, kita haruslah selidik kejiranan dan tetangga di kawasan tersebut. seboleh-bolehnya tetangga haruslah senang dengan kita iaitu beragama Islam. Ini kerana tetangga Muslim sudah tentu mengetahui batas-batas pergaulan antara tetangga.

Seterusnya kewasan rumah idaman kita haruslah mempunyai jiran tetangga yang baik-baik dan berbudi bahasa. Ingatlah bahawa kawasan tetangga yang baik akan membantu dan mempengaruhi kita serta anak-anak berkelakuan baik.

Sekiranya jitan tetangga kita tidak baik, maka suasana tetangga termasuklah kita dan keluarga akan rasa terganggu dan tidak selesa, kurang senang, aman dan sentiasa berada dalam keadaan gelisah. Dalam erti kata lain, ketenteraman yang diharapkan tidak wujud.

Renungilah sebuah Hadis Riwayat Ibnu 'Asakir:

" Tiap empat puluh rumah adalah tetangga, yang depan, yang belakang, yang kanan dan yang kiri (rumahnya)"

d) Berhampiran Masjid atau Surau

Rumah iadaman kita haruslah dan hendaklah berhampiran dengan masjid atau surau. Inilah aspek rohani yang perlu kita tekankan dalam memilih rumah impian kita. Masjid atau Surau yang berhampiran memudahkan kita dan mengingatkan kita untuk menunaikan tiang agama Islam iaitu menunaikan solat lima waktu. Ingatlah bahawa Allah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda apabila kita menunaikan solat berjemaah di rumah Allah.

Selain itu, jarak rumah idaman yang berhampiran dengan masjid atau surau yang keuzuran mendengar siri-siri kuliah, tazkirah dan lain-lain majlis agama yang diadakan di masjid atau surau tersebut.

Renungilah sebuah Hadis Riwayat Bukhari Muslim:

"Solat seseorang dengan berjemaah (masjid) (pahalanya) melebihi solat di rumah atau di pasar dengan dua puluh lima kali ganda"


semoga sedikit sebanyak tips perkongsian ini dapat membantu para pembaca dalam membuat pemilihan rumah idaman hati masing-masing.


Selamat Membaca!!

Lain-lain Coretan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Blogger design by suckmylolly.com